Content feed Comments Feed


Qamar Bani Hashim yang ke udara Astro Oasis setiap malam Ramadhan tidak pernah saya ketinggalan. Versi baru “the Messenger” ini benar-benar menghidupkan watak-watak agung setiap sahabat Rasulullah, jauh lebih hidup dari apa yang hanya mampu digambarkan oleh otak kanan saya melalui pembacaan buku-buku sirah semata-mata. Akal yang tersentuh dengan fakta dan informasi baru tidak sama bezanya dengan hati yang tersentuh dengan paparan semacam “live” di hadapan mata apa yang berlaku kepada batang tubuh para Sahabat Rasulullah di era Makkiyah. (download full episode Qamar Bani Hashim dan Cinta Sempurna)

Dalam episod malam ke 20 Ramadhan semalam, digambarkan betapa gagah dan izzahnya Islam yang selama ini terpaksa bersembunyi di sebalik rumah Al-Arqam, namun akhirnya pengislaman Umar dan Hamzah - akibat kegeniusan Nabi meletakkan sasaran mad’u dari kalangan yang mempunyai pengaruh terbesar dalam Quraisy - memberikan kekuatan yang sangat dahsyat kepada Islam, menguatkan motivasi Rasulullah S.A.W dan para Sahabah yang hampir kian lemah ditekan secara psikologi dan fizikal oleh musyrikin Quraisy.

Kenapakah pengislaman Umar dan Hamzah sangat menakutkan Quraisy yang selama ini menyangka misi menumpaskan gerakan Rasulullah semakin hampir untuk direalisasikan ? Tidak lain dan tidak bukan, lantaran kekuatan PENGARUH yang ada pada mereka, hasil dari KEPAKARAN dalam seni persilatan Arab dan kemahiran taktikal di medan pertempuran tanpa pernah kalah, menyebabkan “VVIP” Quraisy ini dilihat suatu ancaman terbesar kepada gerakan Quraisy.

Kemudian saya menyaksikan kemenangan aspek “Quwwah” seterusnya dengan pidato Jaafar bin Abi Talib kepada Raja Najasyi. Di sini terserlah pula kebijaksanaan seterusnya anak didik Rasulullah yang dicetak sendiri oleh air tangan baginda. Pidato Jaafar bin Abi Talib sangat ajaib. Beliau teliti dan bijak memilih setiap patah perkataan, menjaganya dengan sangat rapi supaya Islam digambarkan dengan paparan yang sangat indah di hadapan Najasyi. Jaafar yang tahu masa untuk menerangkan tentang Islam di hadapan Najasyi sangatlah terhad dan terbatas, menyebabkannya bijak memetik ayat-ayat Quran dan menyentuh titik persamaan antara Islam dan Kristian ketika Jaafar diasak oleh Najasyi untuk menerangkan tentang Islam dan Isa.

Umar, Hamzah, Jaafar hanyalah beberapa nama besar dari produk usrah Rasulullah S.A.W. Sungguh dahsyat kesan “usrah” baginda, justeru kenapa tidak kita meneladaninya. Lihatlah Umar, kegeniusan beliau sehingga ahli sejarah dan mufassirun terpaksa mengakui banyak wahyu menyebelahi pandangan Umar ketika berbeza pandangan ijtihad dengan Rasulullah. Kelebihan Umar dalam beberapa persoalan ijtihad politik berbanding Rasulullah S.A.W itu sengaja diskripkan begitu oleh Allah sebagai suatu isyarat bagaimana kejayaan Rasulullah mencetak generasi supaya menjadi lebih baik dari baginda, walaupun baginda adalah Rasul yang maksum.


Nuqaba seharusnya meletakkan paradigm dan niat mahukan melahirkan ahli usrahnya jauh lebih baik darinya, bukan menjadi sepertinya (syok sendiri). Demikianlah celoteh saya kepada adik-adik di KISAS ketika berceramah mengenai “Kepentingan Usrah : “From Zero To Hero” sempena Kem Penyelarasan Usrah mereka pada sekitar 4 September lepas.


Saya kini mula menyimpan azam, selepas Muhammad al-Fateh, Umar al-Khattab akan menjadi sasaran penciptaan animasi/filem serta kajian pemikiran dan legasi pemerintahan dan kenegarawanannya. Pendekatan saya mudah dan tegas, saya tidak akan mengambil sudut yang biasa para penulis sejarah yang lain lakukan. Apa yang saya mahu kaji adalah cara berfikir mereka serta karakter kepimpinan mereka, sehingga kajian saya itu mampu diterapkan dalam sanubari para pemimpin mahasiswa, masyarakat dan korporat pada hari ini.

Saya hanya akan mengungkapkan apa yang bersangkut paut dengan “what, when, where” mengenai legasi Umar al-Khattab seadanya sahaja sebagai suatu “kesan” dari akar sejarah yang lebih penting iaitu “why” dan “how”, iaitu cara berfikir dan kebijaksanaan Umar dalam mematuhi hukum “challenge and responses” keadaan di zamannya (memetik kata-kata guru saya, Ustaz Hasrizal).

0 Responses to Qamar Bani Hashim : Pengislaman Umar-Hamzah, Pidato Jaafar Serlahkan Kepentingan “Al-Quwwah” Pada Gerakan Islam

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"